Tentera Cina diusir Sejarah_Tibet

Menyusul sebuah pemberontakan di China, tentera awam tempatan Tibet melancarkan sebuah serangan yang terkejut terhadap garison Cina yang ditempatkan di Tibet. Selepas itu, pegawai-pegawai Cina di Lhasa dipaksa memeterai "Perjanjian Tiga Perkara" yang memperuntukkan penyerahan dan pengusiran angkatan tentera Cina dari Tibet Tengah. Pada awal tahun 1913, Dalai Lama kembali ke Lhasa dan mengeluarkan sebuah pengisytiharan yang diedarkan ke seluruh Tibet. Pengisytiharan itu mengutuk "niat Cina untuk menjajah Tibet di bawah hubungan penaung-sami" dan menyatakan bahawa "Kami adalah sebuah negara yang kecil, beragama, dan merdeka". [32] Tibet dan Mongolia dikatakan memeterai sebuah perjanjian pada tahun 1913 yang mengiktiraf kemerdekaan satu sama lain; bagaimanapun, tidak terdapat sebarang cara untuk mengesahkan kewujudan dokumen itu.[40]

Pada tahun 1913-14, sebuah persidangan diadakan di Simla antara Britain, Tibet, dan Republik China. Great Britain mencadangkan pembahagian kawasan-kawasan Tibet yang dihuni oleh penduduk-penduduk menjadi Tibet Luar dan Tibet Dalam (berdasarkan model sebuah perjanjian yang lebih awal antara China dan Rusia tentang Mongolia). Tibet Luar yang kawasannya lebih kurang sama dengan Kawasan Autonomi Tibet moden, akan mencapai autonomi di bawah pertuanan Cina, dan China berjanji tidak akan "masuk campur dalam pentadbirannya". Di Tibet Dalam yang terdiri daripada Kham timur dan Amdo, Lhasa hanya akan mengekalkan kuasa terhadap perkara-perkara keagamaan. [41] Pada tahun 1908-18, terdapat sebuah garison Cina di Kham, dengan putera-putera tempatan dikuasai oleh komandernya.

Dalam sebuah sidang yang dihadiri oleh wakil-wakil Tibet, Henry McMahon, ketua perunding British, melukiskan garis yang menetapkan sempadan Tibet-India. Kerajaan-kerajaan Cina yang berikutan menuntut bahawa Garisan McMahon memindahkan banyak kawasan wilayah secara haram kepada India. Wilayah yang dipertikaikan itu dipanggil Arunachal Pradesh oleh India dan dipanggil Tibet Selatan oleh China. Pada tahun 1912, pihak British mengikat perjanjian-perjanjian dengan para ketua puak tempatan untuk menubuhkan sebuah Kawasan Sempadan Timur Laut agar mentadbirkan kawasan tersebut. Konvensyen Simla dimeterai oleh ketiga-tiga perutusan, tetapi ditolak dengan serta-merta oleh Beijing kerana ketakpuasannya terhadap cara sempadan Tibet Luar dan Tibet Dalam ditetapkan. McMahon dan Tibet kemudian memeterai sebuah perjanjian dwipihak, dengan nota dilampirkan yang tidak membenarkan China sebarang hak dalam perjanjian itu kecuali China memeterainya. Kerajaan India yang dikendalikan oleh pihak British pada mula-mulanya menolak perjanjian dwipihak McMahon yang tidak selaras dengan Konvensyen Inggeris-Rusia 1907. [42][43]

Menjelang tahun 1918, Lhasa telah memperoleh semula kuasanya terhadap Chamdo dan Kham barat. Sebuah kedamaian sementara menetapkan Sungai Yangtze sebagai sempadan. Pada waktu itu, kerajaan Tibet menguasai seluruh Ü-Tsang dan Kham di sebelah barat Sungai Yangtze yang sempadannya lebih kurang sama dengan Kawasan Autonomi Tibet pada masa kini. Kham barat diperintah oleh putera-putera Tibet tempatan yang terdiri daripada berbagai-bagai kesetiaan. Di Amdo (Qinghai), Ma Bufang, hulubalang kelompok etnik Hui serta penyokong Kuomintang, menguasai kawasan Xining. Kawasan-kawasan provinsi yang lain berada di bawah kuasa tempatan.

Pada sepanjang dekad 1920-an dan 1930-an, China dibahagikan oleh perang saudara dan kemudian, perhatiannya dialih oleh perang anti-Jepun, tetapi ia tidak pernah melepaskan sebarang tuntutan terhadap kedaulatannya ke atas Tibet dan membuat percubaan sekali-sekali untuk menuntutnya. Semasa pemerintahan Dalai Lama ke-13, Beijing tidak mempunyai sebarang wakil di wilayah itu. Bagaimanapun pada tahun 1934, selepas kemangkatan Dalai Lama, China menghantar sebuah "perutusan takziah" yang diketuai oleh Jeneral Huang Musong ke Lhasa. [44] Sejak tahun 1912, Tibet telah mencapai kemerdekaan de facto daripada China, tetapi kekadang menunjukkan kerelaan untuk menerima status bawahan sebagai "sebahagian China", asalkan sistem-sistem dalamannya tidak dikacau dan asalkan China melepaskan kawalannya terhadap sebilangan kawasan etnik Tibet yang penting di Kham dan Amdo.[45]

Pada tahun 1938, pihak British akhirnya menerbitkan Konvensyen Simla sebagai sebuah perjanjian dwipihak dan menuntut bahawa biara Tawang yang terletak di selatan Garisan McMahon menghentikan pembayaran cukai kepada Lhasa. Dalam sebuah percubaan untuk mengubah sejarah, salah sebuah jilid Himpunan Perjanjian (A Collection of Treaties) yang ditulis oleh C.U. Aitchison yang pada asalnya mengandungi nota yang menyatakan bahawa tidak adanya sebarang perjanjian yang dicapai di Simla, ditarik balik daripada semua perpustakaan. [46] Jilid yang berkenaan digantikan dengan sebuah jilid baru yang mengandungi tarikh penerbitan 1929 yang palsu dan yang merangkumi Simla, bersama-sama nota editor yang mengatakan bahawa Tibet dan Britain, tetapi bukan China, menerima perjanjian itu sebagai mengikat. Perjanjian Inggeris-Rusia 1907 yang pada awalnya menyebabkan pihak British menyoal kesahan Simla, telah ditolak oleh Rusia pada tahun 1917 dan oleh kedua-dua Rusia dan Britain pada tahun 1921. [47] Bagaimanapun, Tibet mengubah pendiriannya terhadap Garisan McMahon pada dekad 1940-an. Pada akhir tahun 1947, kerajaan Tibet menulis sebuah nota yang disampaikan kepada Kementerian Hal-ehwal Luar Negeri India yang baru mencapai kemerdekaan dan menuntut daerah-daerah Tibet di selatan Garisan McMahon. [48] Selain itu, dengan enggan memeterai dokumen-dokumen Simla, Kerajaan Cina melepaskan diri daripada diperlukan memberi sebarang pengiktirafan kepada kesahan Garisan McMahon. [49]

Tibet mengasaskan sebuah Kementerian Luar Negeri pada tahun 1942 dan pada tahun 1946, menghantar perutusan-perutusan tahniah ke China dan India (berkaitan dengan keakhiran Perang Dunia II). Perutusan ke China diberikan surat yang ditujukan kepada Presiden Chiang Kai-sek yang menyatakan bahawa "Kami akan meneruskan kemerdekaan Tibet sebagai sebuah negara yang diperintah oleh para Dalai Lama yang berturut-turut melalui sebuah pemerintahan keagamaan-politik yang tulen." Perutusan itu bersetuju untuk menyertai dewan undangan perlembagaan Cina di Nanjing sebagai pemerhati. [50]

Pada tahun 1947-49, Lhasa menghantar sebuah "Perutusan Perdagangan" yang diketuai oleh Tsepon (iaitu Menteri Kewangan) W.D. Shakabpa ke India, Hong Kong, Nanjing (ketika itu ibu negara China), Amerika Syarikat, dan Britain. Negara-negara yang dilawati berhati-hati supaya tidak menyatakan sebarang sokongan terhadap tuntutan Tibet sebagai sebuah negara yang merdeka daripada China dan tidak membincangkan sebarang persoalan politik dengan perutusan itu. [51] Pegawai-pegawai Perutusan Perdagangan tersebut masuk ke China melalui Hong Kong dengan pasport-pasport baru yang dikeluarkan oleh Konsulat China di India atas permohonan mereka, dan mereka tinggal di China selama tiga bulan. Bagaimanapun, negara-negara yang lain membenarkan perutusan itu untuk membuat perjalanan dengan menggunakan pasport-pasport yang dikeluarkan oleh kerajaan Tibet. Amerika Syarikat secara tidak rasmi menerima Perutusan Perdagangan tersebut.

Perutusan Perdagangan Tibet bertemu dengan Clement Attlee, Perdana Menteri British, di London pada tahun 1948. [52]

Rujukan

WikiPedia: Sejarah_Tibet http://www.tibet.ca/wtnarchive/1997/6/3-2_1.html http://www.china.org.cn/english/tibet-english/lish... http://www.canonymous.com/press/ecritique2/part2.h... http://taylorandfrancis.metapress.com/link.asp?id=... http://www.tibet.com/ http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://cc.purdue.edu/~wtv/tibet/article/art4.html http://www.historyofnations.net/asia/tibet.html http://www.newleftreview.net/NLR24805.shtml